Here comes Baby Khayla (part 2 - a year later)

Setahun yang lepas, ye, pada tarikh yang sama, aku sedang bekerja keras menyiapkan kerja ofis di hospital, sementara menanti esok paginya untuk melahirkan seorang bayi perempuan bernama Khayla. Sila baca di sini.


Nampak sangat kan aku tak rajin update blog? Ada ke citer setahun lepas baru nak muntahkan kat sini?? Tak patut, tak patut...


Tapi, tak kira! Nak citer jugak! Sebelum aku lupa buat selama-lamanya, biarlah aku citer kan jugak pengalaman setahun lepas tu. Hehe.


So selepas aku siapkan kerja-kerja ofis pada pukul 2.30pagi, aku simpan laptop dan baring di katil hospital 5 star tu. Syok betul baring di katil hospital, sebab ada remote control boleh nak tegakkan atau flat kan katil tu, terpulang keselesaan. Maklum la, sejak pregnancy dah sarat, sakit pinggang menjadi-jadi, dan tido adalah mission impossible. So bila dapat katil yang boleh adjust sesuka hati, aku rasa kagoms dan heaven! En Suami dan lama dibuai mimpi di katil sofa sebelah. Dengan kedinginan aircond dan keempukan katil tu aku pun tertido selama 2 jam lebih.


Seawal jam 5 pagi, nurse dah kejutkan aku sebab nak pasang alat yang boleh detect contraction dan dengar heartbeat baby. Walaupun aku mamai, aku bangun la jugak untuk allow dieorang pasang mesin tu. Lepas tu, layan la dengar heartbeat baby selepas sekian lama tak dengar. So far, memang takde contraction pun sebab aku sepatutnya due 2 minggu lagi.


Pukul 6 pagi, dieorang remove benda tu dari perut aku, dan aku pun bangun untuk solat Subuh. Lepas tu dah tak tido. Sebab. Aku start rasa cuak. Cuak nya nak beranak first time nih!


Yang menambahkan rasa cuak, family aku sorang pun takde temankan aku (kecuali En Suami Terchenta la, kalau dia pun tak de memang lagi syahdu la aku! Tak de beza dengan budak2 yang beranak sorang diri tepi longkang tu kan. Huhu...). Kami kan sebatang kara je, so terpaksa la terima hakikat tu. Mak aku pulak tak dapat datang temankan aku last minute sebab nak sambut ketibaan ayah aku baru balik dari Mekah. Dugaan...


Pukul 7.30pagi sepatutnya aku dah ditolak masuk ke wad pembedahan. Nurse dah suruh aku salin baju untuk operate, dan aku pun dah duduk di sofa tunggu ditolak keluar je dari bilik tu. Sempat la kami hubby & wife amik gambar terakhir berdua sekeluarga - lepas operate ni, bertambahlah ahli keluarga kami. Sementara tunggu tu jugak, sempat rakam video anakku bergerak-gerak di dalam perut - aik, baby pun cuak ke? (Ye, memang dia cuak, sebab dia boleh pusing 180 darjah, jadi posisi dia dah beralih masa tengah operate tuh!)


Pukul 8.15pagi cenggitu, barulah nurse-nurse datang dan suruh aku naik ke katil aku. Dah setel, dieorang tolak katil tu keluar bilik. Masa tu dah rasa excited - woah, tak sangka dalam beberapa jam aku akan dapat menatap wajah si kecil yang selama 9 bulan membesar dalam perut aku! Rindu tau!


Suami Terchenta follow je kami, tapi bila dah sampai ke operation theater (OT), nurse suruh dia tunggu di luar sementara dieorang siapkan aku untuk pembedahan. For 15 minutes more or less, aku tunggu sorang-sorang dalam wad tu. Tak lama kemudian, seorang doktor Cina datang untuk explain prosedur anesthetic yang aku dah pilih malam sebelumnya (pergh, boleh pilih kau, sama ada nak epidural atau spinal block). Tentu2 aku pilih spinal block sebab ngeri tengok jarum epidural yang besar masa antenatal class dulu!


Lepas tu, dieorang angkat aku ke operation table dan sorong aku ke operation theater. Baru nak settle down, anesthetist tu datang dan suruh aku duduk dalam keadaan membongkok sedikit ke depan. Perasaan? Cuak dan takut! For a few minutes, dia dok tekan2 kat tulang belakang bahagian pinggang - geli pun ada, sakit pun ada gak. Bila dia wipe kat bahagian dia nak cucuk tu, terasa sejuk je kat situ (dah la bilik operation tu memang sejuk!). Bila dia cucuk tu, aku tersentak sekejap - sakit plus terkejut tiba-tiba. Woah, jangan main2, saraf tunjang tau. Doktor suruh aku jangan gerak, pas tu dia pun inject la ubat pelali kat situ.


Dalam beberapa saat je, aku start terasa lain macam je - kaki aku mula hilang rasa. Aku sempat gelak dan cakap kat doktor, 'My legs are going to sleep!' dan seminit kemudian, aku tak rasa apa-apa kat bahagian pinggang ke bawah. Mulanya aku rasa funny (ye rasa macam janggal pun ada, lucu pun ada). Tapi, tiba-tiba aku rasa nak amik nafas tu macam cukup2 je - doktor tu dah warning dah, paru2 aku separuh mungkin akan kebas jugak. Dah aku tercungap2 macam ikan kat darat. Nurse yang standby tu bagi aku topeng oksigen, tapi bagi aku tak membantu langsung.


Lepas tu, the same doctor insert pulak drip kat tangan kiri. Aku tahan je la kan. Bila dah settle semua, gynae aku pun masuk. Dia tanya kabar semua, dan kemudian mula la set up alat-alat pembedahan. Tak lama lepas tu, Suami Terchenta pulak masuk, siap pakai baju scrub. Bila aku nampak Suami Terchenta, aku rasa lega sangat dia temankan aku dalam bilik operation tu.


Disebabkan nurse dan pasang langsir daripada separuh dada ke bawah, maka aku tak nampaklah pembedahan dah bermula. Suami Terchenta sibuk amik video, dan tak jawab langsung pertanyaan aku bila aku tanya doktor tengah buat apa. Tau-tau, aku rasa pressure yang kuat sangat sampai menghimpit paru-paru aku, beberapa kali. Masa tu, aku ingatkan gynae tengah betul-betulkan posisi baby ke apa, rupa-rupanya dia dah operate pun, dan tengah cari kepala baby untuk ditarik keluar. Maklumlah, anak aku dah cuak kan, so posisi dia dah beralih dari masa scan dulu.


Tiba-tiba, Suami Terchenta duduk di kerusi sebelah aku sambil letak kepala di katil. Aku yang terpinga-pinga start tanya apa yang dah berlaku? Tak lama lepas tu, aku dengar doktor memberi salam, 'Asalamualaikum!' dan suara tangisan yang ditunggu-tunggu berkumandang.


Finally! Bahagia, teruja, pure happiness. Sebut la semua perasaan tu, semua ada dalam hati aku masa tu. Mendengar suara Khayla for the first time adalah magical moments for me. Aku jadi sebak lalu mula menangis. Suami Terchenta (aku masih susah nak maafkan dia sebab pengsan pada saat-saat penting tu!) tengah pitam, kalau tak dah lama aku suruh dia amik gambar Khayla di baby cot. Bila doktor bawak Khayla ke depan mata aku, aku terasa nak peluk cium dan tak nak lepaskan dia, tapi apakan daya sebelah tangan ada drip, sebelah lagi ada finger monitor. Aku cuma sempat cium wajah Khayla sepuas-puasnya sebelum doktor bawak Khayla pergi.


Suami Terchenta pulak dah dibawak keluar oleh nurse untuk sambung pengsan di katil yang dah standby kat luar bilik operation. Tinggallah aku keseorangan, tunggu doktor habis jahit tempat C-section tu. Entah camane, lepas beberapa minit, aku mula rasa lenguh dan sakit teramat sangat di bahu kanan. Bila aku bagitau kat doktor anesthetist tu, dia kata it's normal. Body aku detect ada injury tapi tak tau kat mana (sebab dah kebas kena inject pelali), so the pain signal tu 'park' la kat mana2 yang tak kena bius tu (kat bahu aku la).


Aku rasa sangat tak selesa, tapi En Suami takde pulak di sisi tolong picitkan bahu yang sakit tu. Terpaksalah aku tahan je sakit tu sampai la doktor dah habis jahit luka. Tapi bila doktor dah pergi, aku tetiba rasa boleh gerakkan jari kaki. Adeh. Itu bermakna ubat bius dah nak kehabisan, padahal masih lagi dalam operating theater! Aiyoh.


Lepas tu, aku disorong ke bilik recovery, di mana ada a few pesakit yang baru keluar dari bilik operation ditempatkan. Di situ, dieorang akan pantau keadaan pesakit, kalau dah nampak stabil, dieorang akan release dan boleh balik ke bilik masing-masing. Kalau tak, masuk la semula dalam bilik bedah kot. Aku terpaksa tunggu kat situ selama 1 jam. Tak tau kenapa, badan aku mula rasa sejuk teramat sangat sampai menggigil-gigil. Pinggang aku pun lenguh dan sakit, mungkin sebab baring terlentang agak lama (ya lah, sebelum ni aku mana tido terlentang dengan perut yang sarat, mau rasa nak patah pinggang gamaknya). Tapi, aku asyik terkenangkan baby yang baru lahir tu, kalau aku banyak komplen nanti lambat la aku nak discharge dari recovery room tu. So, aku cuma bagitau doktor bius untuk tambahkan dos ubat tahan sakit sebab aku dah mula rasa pedih di bahagian kena bedah tu, dan duduk diam-diam tunggu sejam tu berlalu.


Lepas sejam barulah aku ditolak semula ke bilik aku. Masa tu, aku tak sabar-sabar nak jumpa Suami Terchenta, nak mengadu betapa sakitnya lepas kena bedah kengkononnya. Tapi, masuk je bilik tu, tak de sapa2. Huhu. T_T


Sebaik je nurse dah betul-betulkan apa-apa yang patut, aku laju je mintak supaya dieorang bawak baby ke bilik. Tak sabar betul aku nak tengok wajah si kecik tu.


Dalam 15 minit aku tunggu, barulah pintu diketuk dan nurse sorong baby cot ke dalam bilik. Masa tu aku dah dengar si Khayla meraung2 (ya, dia memang kuat meraung). Nurse kata dia lapar. Bila tengok muka dia sekali lagi, aku rasa syahdu sangat tak boleh describe perasaan terharu bila first time jadi mak ni. Mulalah air mata tumpah sekali lagi, sampai nurse kata, 'Sudah la tu, kan baby dah ada ni...'


Aku ambik, peluk, cium sepuas-puasnya pipi si kecik tu. Lepas tu, nurse ajar camane nak bagi susu badan. Yalah, first time jadi mak ni, nak keluarkan susu sendiri pun tak reti. Apa lagi nak ajar baby camane nak menyusu. So, memang berterima kasih la kat nurse2 PCMC yang sabar melayan karenah kami sepanjang seminggu kat hospital - dengan si Khayla yang taknak menyusu sebab demam kuning, mak dia yang tak cukup tido sebab asyik kena ulang-alik pegi ke nursery nak bagi dia susu tapi dia tido pulak...


Citer pasal breastfeeding ni, memang aku akui first time tu memang kekok dan mencabar. For the first 3 days, memang tak banyak susu keluar. Paling banyak pun, sesudu dua je. Kalau aku tak pegi kelas antenatal dan tak dengar ceramah pasal breastfeeding, memang laju je akan mintak Suami Terchenta beli susu formula untuk top up.


Tapi sebab dah attend kelas tu, aku tau baby baru lahir memang perut dia kecik je, sesudu susu tu dah cukup mengenyangkan dia. Sebab tu dia hisap sekejap je, then dia sambung tido.


Then by hari ke 4-5, aku terasa breast bengkak sangat, sakit sampai rasa nak demam! For first time seumur hidup, aku tengok breastpump elektrik. Bila aku pam, dapat la 1-2oz susu, which nurse simpan buat stok untuk spoonfeed Khayla (sebab dia tak pandai feed directly lagi). By the time kiteorang discharge dari hospital, si Khayla dan mak dia masih lagi kekok nak breastfeed, so biasa aku akan pam / express susu dan bagi dalam botol susu. After 2 weeks (dan juga lepas pam manual patah, menyebabkan kiteorang terpaksa beli Medela double pump secara emergency), barulah production susu bertambah dengan banyaknya. Alhamdulillah :)


So back to story pada hari kelahiran Khayla. 


Lepas nurse guide Khayla camane nak minum, sekejap je bayi tu dah kenyang dan sambung tido. Nurse letak dia kat dalam baby cot dan tinggalkan kami untuk berehat. Lepas tu baru la Encik Suami Terchenta masuk - alkisahnya lepas dia bangun dari pengsan, doktor tak bagi dia masuk balik dalam OT takut dia pengsan sekali lagi.


Maka, dia pun pegi la breakfast kat ground floor sementara tunggu operation berakhir. Tau2 Wife Terchenta dan anak dah dihantar ke bilik. 


Encik Suami Terchenta yang tak penah pegang baby baru lahir tu, memberanikan diri nak dukung Khayla yang tengah nyenyak tido untuk diiqamatkan. Then, aku suruh dia ambik kurma kat tepi katil untuk tahnik kan budak kecik tu. Selesai semuanya, kiteorang sama2 menatap wajah si kecik dengan perasaan bahagia dan kagoms. Ya, jadi parents kepada bayi baru lahir ialah satu perasaan yang mengkagoms kan.


Begitulah kisah kelahiran Khayla Junaidi. Permata cantik dalam hidup kami. Terima kasih ya Allah, sebab mengurniakan anak secantik dan sebaik dia :)

0 comments:

Post a Comment